doshheaderbm

Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Dua maut lantai konkrit LRT runtuh - Utusan Online
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Dua maut lantai konkrit LRT runtuh - Utusan Online

Dua maut lantai konkrit LRT runtuh - Utusan Online

Utusan Online, 25 Disember 2014

news 25122014 uo
ANGGOTA bomba dan penyelamat mencari dua buruh binaan warga Bangladesh yang dipercayai tertimbus akibat runtuhan lantai konkrit di tapak pembinaan LRT di Putra Height, Subang Jaya, semalam.

KUALA LUMPUR 24 Dis. – Dua pe­kerja pembinaan maut dalam runtuhan lantai konkrit di tapak pembinaan terminal Transit Aliran Ringan (LRT), Kuala Sungai Baru, Putra Height, Subang Jaya dekat sini hari ini.

Mangsa yang maut ialah Md. Suman Mollah dan Mohammad Alamgir Mohammad Abdul Kashem.

Enam lagi rakan senegaranya hanya mengalami kecederaan iaitu Md. Rubuluddin, Md. Saiful, Md. Goiliar Hossen, Md. Mokhtar Hossen, Rasel Halder dan Saiful Rona.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 petang itu, terdapat enam pekerja sedang meletakkan simen di pelantar tingkat satu binaan bangunan tersebut manakala dua lagi pekerja berada di bawah.

“Bagaimanapun tapak konkrit tersebut tiba-tiba runtuh mengakibatkan kesemua mangsa jatuh lalu menghempap dua pekerja di bawah.

“Seorang maut, empat yang ce­dera dikejarkan ke Hospital Putrajaya, dua lagi mendapat rawatan di klinik swasta sementara mayat Mohammad Alamgir ditemui pukul 1.10 pagi,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Sani berkata, mayat Md. Suman ditemui kira-kira pukul 10.24 malam dan pasukan penyelamat dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengesan mangsa kedua tiga jam kemudian.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Amir Mahmood Razak berkata, insiden di tapak pembinaan di Putra Heights tersebut tiada kaitan dengan Projek MRT Lembah Klang (KVMRT).

“Insiden tersebut telah dilaporkan melalui media sosial pihak penyelamat sebagai berlaku di tapak kerja MRT. Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) tidak melalui Subang Jaya.

“Kami mendoakan keselamatan mangsa kejadian yang dilaporkan terperangkap di bawah runtuhan lantai simen konkrit simen tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Cetak Emel