Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2016
  • Buruh mati tertimbus, rakan hilang - Sinar Harian Online
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2016
  • Buruh mati tertimbus, rakan hilang - Sinar Harian Online

Buruh mati tertimbus, rakan hilang - Sinar Harian Online

Sinar Harian Online, 10 April 2016

 

KOTA TINGGI - Seorang lelaki warga Indonesia maut, manakala seorang lagi rakannya masih gagal ditemui selepas tertimbus berikutan kejadian runtuhan di tapak lombong pasir, di Bandar Tenggara, Kota Tinggi kira-kira jam 11.30 pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, runtuhan di lombong pasir berketinggian 100 kaki itu menyebabkan kedua-dua mangsa tertimbus, bagaimanapun mayat Saeful Amir, 30, berjaya dikeluarkan.

Menurutnya, mayat Saeful ditemui tersepit di rantai besi sebuah jentera sedut pasir dan dikeluarkan hasil bantuan pekerja lain, bagaimanapun Udin Nur Udin, 45, juga warga Indonesia masih gagal ditemui.

“Seorang pekerja lombong hubungi majikan mereka, beritahu berlaku runtuhan di lokasi kejadian dan menimpa dua jentera serta dua pekerja tertimbus.

“Majikan mangsa kemudiannya segera ke lokasi dan mendapati pekerja di lombong itu bawa keluar mayat Saeful, namun usaha mencari Udin tidak berhasil menyebabkan mereka bertindak hubungi polis kira-kira jam 7 malam,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan hasil bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 7.30 malam.

Bagaimanapun katanya, operasi terpaksa dihentikan berikutan cuaca gelap dan berlaku pergerakan tanah.

Tambah Rahmat, mayat Saeful yang mengalami kecederaan parah di kepala dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat.

“Pasukan SAR melibatkan tujuh anggota dan seorang pegawai dari Balai Polis Bandar Tenggara serta pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, memulakan operasi kira-kira jam 9.30 pagi (semalam), namun dihentikan lebih dua jam kemudian selepas berlaku runtuhan susulan, selain kawasan lombong agak luas.

“Majikan dan wakil Kedutaan Indonesia telah dimaklumkan berhubung situasi semasa tempat kejadian serta keputusan untuk menghentikan operasi SAR,” katanya.

 

Cetak Emel