Budak tersepit kemaluan pada eskalator trauma diajak ke pasar raya - Berita Harian Online
Berita Harian Online, 09 Jun 2016
KEADAAN Mohd Rohaizat Abd Rahman yang kemaluannya tersepit pada eskalator di sebuah pusat beli belah. - Foto Ihsan Bomba
BAGAN SERAI: Kanak-kanak lelaki tiga tahun, Mohd Rohaizat Abd Rahman yang kemaluannya tersepit pada eskalator di sebuah pusat beli belah di sini, masih trauma dan serik dengan kejadian yang menimpanya.
Bapa tirinya, Mohd Rohizan Mohd Radzi, 22, berkata Mohd Rohaizat sudah dibenarkan keluar dari Hospital Taiping semalam selepas keadaannya dilaporkan semakin pulih dan stabil.
Mohd Rohizan yang tinggal di perkampungan nelayan Kuala Gula di sini berkata, anaknya sering kali takut apabila ada yang mengusik untuk mengajaknya ke pusat beli belah berkenaan kerana masih teringat peristiwa yang menimpanya.
"Sepanjang terlantar di rumah jika ada yang mengusiknya dan ajak dia ke sana (pusat beli belah), dia jerit `tak mau tak mau' dan berjanji tidak akan duduk di atas tangga eskalator lagi.
"Sejak semalam, apabila ada orang datang melawatnya, dia langsung tidak membenarkan melihat jahitan pada alat sulitnya kerana malu dan masih teringat peristiwa itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Rohizan berkata, anaknya kini sudah mampu tersenyum dan terpaksa berehat untuk beberapa minggu lagi sebelum berjalan semula kerana dia sudah pun dikhatankan berikutan luka yang dialaminya.
Katanya, persitiwa itu tidak akan dapat dilupakan kerana ia berlaku di depan mata dan terlalu pantas.
"Apa pun saya gembira, kerana walaupun anak saya masih trauma, kami sangat bersyukur dia hanya cedera, apabila melihat dia sudah boleh senyum dan ketawa, hilang segala rasa resah kami sekeluarga," katanya.