Pekerja penyelenggara ditemukan meninggal dunia di atas menara TM - Utusan Online
Utusan Online, 4 Mei 2017
Anggota bomba menjalankan operasi membawa turun mangsa dari atas menara Telekom Malaysia (TM) di Jalan Sungai Batu Pahat, Kampung Behor Kebal di Kangar, Perlis, malam tadi. - UTUSAN ONLINE/Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat
KANGAR - Seorang pekerja penyelenggara Telekom Malaysia (TM) ditemukan meninggal dunia semasa sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di atas menara itu di Jalan Sungai Batu Pahat, Kampung Behor Kebal di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 8.15 malam itu, mangsa yang berusia 20-an dan masih belum dikenal pasti identitinya, dikatakan tiba-tiba pengsan.
Rakannya yang menyedari perkara tersebut, kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri untuk meminta bantuan.
Pasukan bomba dengan kekuatan 17 anggota yang tiba di lokasi kejadian kemudian membawa turun mangsa sebelum lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini untuk tujuan bedah siasat. - UTUSAN ONLINE