Membudayakan keselamatan melalui amalan LSR - Sinar Harian Online
Sinar Harian Online, 16 Mei 2017
SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkenalkan Tenaga Safety Day (TSD) sebagai acara tahunan bagi membudaya dan memantapkan amalan keselamatan kepada seluruh 35,000 warga kerjanya.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ir. Azman Mohd berkata, pihaknya turut melancarkan Life-Saving Rules (LSR), iaitu satu peraturan keselamatan bagi memastikan kerja-kerja berisiko tinggi dilaksanakan dengan selamat selain mempertingkatkan prestasi keselamatan TNB secara amnya.
“Apabila warga kerja atau kontraktor berhadapan situasi yang mana mereka tidak dapat mematuhi peraturan-peraturan ini, mereka mesti menghentikan kerja itu serta-merta dan memaklumkannya kepada pengurus atau penyelia mereka.
“Keselamatan pekerja adalah paling utama dalam TNB,” katanya ketika berucap di majlis perasmian TSD 2017 dan pelancaran LSR oleh Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie di sini hari ini.
TSD 2017, dengan tema Get Home Safe turut melibatkan pameran oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan dan Suruhanjaya Tenaga (ST).
Tambah Azman lagi, LSR tersebut mesti dipatuhi warga kerja TNB dan kontraktor-kontraktornya pada setiap masa di premis TNB atau ketika melakukan kerja-kerja TNB.