Majikan jangan ‘kedekut’ melabur - Utusan Online
Utusan Online, 08 September 2017
KUALA LUMPUR 7 Sept. – Majikan dinasihatkan supaya tidak ‘kedekut’ melabur dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerja bagi mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Richard Riot Jaem berkata, rata-rata majikan didapati kurang memberi keutamaan kepada isu-isu keselamatan dan kesihatan kerana melibatkan kos dan dianggap tidak berbaloi.
“Sebanyak 93 peratus daripada kes yang dilaporkan itu melibatkan masalah pekak ekoran terdedah kepada bunyi kuat, diikuti tulang dan otot (tiga peratus) dan penyakit paru-paru (dua peratus). Majoriti pekerja sektor pengeluar tenaga bebas (IPP) dan loji janakuasa seperti Tenaga Nasional Berhad kerap terdedah kepada masalah pekak.
“Tahap kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan pekerja, khususnya pendedahan kepada penyakit dan keracunan pekerjaan di negara ini masih pada tahap rendah,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kebangsaan 2017 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Adenan Ab. Rahman.
Yang turut hadir Timbalan Setiausaha (Operasi) kementerian, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar; Pengarah HKL, Datuk Dr. Zaininah Mohd. Zain dan Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan) JKKP, Kormain Mohd. Noor.
Beliau menambah, berdasarkan kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), kes keracunan pekerjaan di tempat kerja lebih kerap berlaku berbanding pendedahan kepada penyakit, iaitu pada kadar nisbah 6:1.
“Amalan budaya kerja selamat dan sihat di tempat kerja perlu diterapkan dan diamalkan oleh semua pihak bagi mencegah berlaku kemalangan dan penyakit pekerjaan daripada berterusan di negara kita,” ujarnya.