Tiga cedera akibat kren tumbang - Utusan Online
Utusan Online, 09 November 2017
KUALA LUMPUR 9 Nov. – Tiga termasuk dua wanita cedera dalam kejadian kren tumbang di sebuah tapak projek pembinaan milik UDA Holdings Berhad (UDA) di Kampung Baru di sini hari ini.
Seorang daripada mangsa yang cedera dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu merupakan pekerja pembinaan manakala dua wanita yang turut terlibat kebetulan berada di kawasan tersebut.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, seorang daripada mangsa wanita dipercayai patah bahu kanan dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan manakala pekerja pembinaan dan seorang lagi wanita hanya cedera ringan.
“Wanita yang patah bahu itu berusia 30-an dan wanita yang mengalami luka ringan merupakan warga emas. Mereka dipercayai terkena libasan kabel kren dan serpihan cermin kenderaan yang pecah
“Dalam kejadian ini juga tiga buah kereta didapati rosak teruk dihempap kren berkenaan,” ujarnya.
Sementara itu, UDA Holdings Berhad (UDA) dalam kenyataannya memberitahu, pihaknya telah mengambil langkah-langkah segera untuk memaklumkan kepada pihak-pihak terlibat dan menutup kawasan kejadian.
Jelasnya, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan maklumat lebih lanjut akan dimaklumkan sebaik sahaja siasatan selesai dijalankan.
“UDA Holdings Berhad kesal dengan kejadian yang berlaku dan akan mengambil segala pendekatan yang perlu bagi mengelakkan kejadian yang seumpamanya daripada berlaku di masa akan datang,” ujarnya.