doshheaderbm

Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2017
  • Wanita tunggal ditauliah jadi tenaga pengajar DOSH - Berita Harian Online
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2017
  • Wanita tunggal ditauliah jadi tenaga pengajar DOSH - Berita Harian Online

Wanita tunggal ditauliah jadi tenaga pengajar DOSH - Berita Harian Online

Berita Harian Online, 19 Disember 2017

  

news bho 191217 

 RAJA Nurul Syuhada (kiri) memberi penerangan kepada pelatih di NIOSH Bangi. - Foto Luqman Hakim Zubir

 

BANGI: Persekitaran kerja di ruang terkurung mungkin sesuatu yang asing dalam kalangan wanita, tetapi bidang berisiko itu tetap diceburi golongan hawa, membuktikan mereka setanding kudrat lelaki.

Ini bukan saja mengubah persepsi, sebaliknya memperlihatkan mereka berani menyahut cabaran bekerja di luar zon selesa seiring keperluan dan kepuasan bekerja.

Misalnya juruteknik kanan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) Kemaman, Raja Nurul Syuhada Raja Haris, 30 ini satu-satunya wanita yang mempunyai kelayakan Tenaga Pengajar Bekerja Selamat Di Dalam Ruang Terkurung.

Kerjaya itu bukan saja berisiko tinggi dan terdedah pada kemalangan, tetapi jarang diperkatakan, berikutan persekitaran kerjanya di dalam tangki, sektor perladangan dan perkilangan.

Beliau bangga kerana menjadi wanita tunggal ditauliahkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) di samping 76 lagi tenaga pengajar lelaki.

"Bidang tugas saya berkait rapat dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dengan tumpuan kepada ruang terkurung seperti dalam tangki, perladangan, industri minyak dan gas dan pembinaan infrastruktur.

"Saya memperoleh tauliah sebagai pengendali latihan bekerja selamat di dalam ruang terkurung sejak Oktober 2015 dan ini sekali gus memberikan keselesaan kepada pelatih wanita untuk menjalani ujian untuk mereka mendapatkan sijil atau permit," katanya di ibu pejabat NIOSH, baru-baru ini.

Katanya, antara lain bidang tugasnya adalah menyelia pekerja menjalani ujian untuk memperoleh permit memasuki ruang terkurung yang wajib mempunyai sijil dikenali 'Orang yang Dibenarkan Masuk dan Orang Menjaga Bagi Ruang Terkurung' (AESP).

"Tugas saya ini juga menentukan mereka kompeten atau tidak, kerana aspek ruang terkurung ini bukan sesuatu yang mudah, malah ada juga tidak berjaya lalu perlu mengulangi ujiannya," katanya.

 

Persediaan mental

Ibu kepada dua cahaya ini berkata, wanita tidak perlu merasa janggal bekerja dalam kalangan lelaki, tetapi perlu menonjolkan kemampuan, berpengetahuan dan persediaan mental serta fizikal.

"Saya bekerja di institut ini sejak 2009 dan memahami budaya kerja yang dikelilingi pekerja lelaki berikutan sebelum ini bekerja dalam industri minyak dan gas dan sektor pembinaan.

"Memang tidak dinafikan ia satu kelainan apabila persekitaran kerja semuanya lelaki, tetapi wanita kena kuat, banyak ilmu, kemahiran supaya kemampuan kita tidak dipersoalkan atau menjadi mangsa buli," katanya.

Pemegang Diploma Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin ini, berkata antara cabaran tugasnya mewujudkan kesedaran terhadap kepentingan memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan menjadi keutamaan."Ramai bersikap tidak endah bekerja dalam persekitaran tangki simpanan, kapal tangki dan dandang yang berisiko dan memerlukan tahap keselamatan khusus.

"Ini selari usaha mengelakkan kemalangan yang berkait dengan keselamatan pekerja dan majikan serta kontraktor, mereka mematuhi peraturan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994," katanya.

Di bawah OSHA, majikan perlu memastikan pekerja mereka disahkan layak untuk memasuki ruang terkurung dan mematuhi garis panduan di bawah Kod Amalan Bekerja Selamat Di Ruang Terkurung (ICOP) 2010.

 

Tanggungjawab majikan

Mengikut ICOP ini, majikan dan kontraktor perlu membuat penilaian risiko keselamatan dan kesihatan yang bakal dihadapi dan mengambil segala langkah munasabah untuk mengelak risiko boleh dijangka.

Katanya, tuntutan pekerjaannya perlu mematuhi standard operasi (SOP) bagi membolehkan setiap pekerja industri tahu mengenai persekitaran, langkah menyelamatkan diri apabila terperangkap di tempat terkurung.

"Menjadi tanggungjawab majikan menghantar kakitangan mengikuti program dua tahun sekali.

"Mengenai tugas tenaga pengajar ini ia bukan sesuatu yang senang kerana membabitkan banyak peringkat dan perlu pemantauan dari DOSH dan saya gembira kerana tauliah ini memberi kelegaan kepada pelatih wanita," katanya.

 

Cetak Emel