doshheaderbm

Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2019
  • Jaga-jaga, kami datang...- Harian Metro Online
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2019
  • Jaga-jaga, kami datang...- Harian Metro Online

Jaga-jaga, kami datang...- Harian Metro Online

Harian Metro Online, 10 Mac 2019

 

 

JABATAN Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor akan melaksanakan pemeriksaan terhadap 75 tapak pembinaan sempena Operasi Penguatkuasaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di seluruh negeri.

Pengarah JKKP Johor Ir Dasuki Mohd Heak berkata, operasi yang bermula minggu ini bertujuan memastikan tahap pematuhan Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Akta KKP 1994 dilaksanakan di tapak pembinaan.

“Selain itu operasi akan meninjau tahap keberkesanan langkah-langkah pencegahan yang sudah diambil kontraktor dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di tapak pembinaan.

“Operasi kali ini lebih memfokuskan kepada tapak pembinaan membabitkan aktiviti kerja di tempat tinggi, kerja konkrit dan ‘scaffolding’ di kawasan pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, projek pembinaan boleh mengundang pelbagai risiko kepada pekerja, orang awam dan harta benda.

Katanya, jumlah kemalangan maut di tapak pembinaan di negeri itu sepanjang tahun lalu adalah seramai 19 orang berbanding 2017 yang mencatatkan 27 orang.

“Justeru, kawalan risiko perlu dilaksanakan menurut kehendak akta, peraturan, tata amalan industri dan piawaian KKP.

“Sekiranya kawalan risiko didapati tidak memuaskan, pegawai JKKP akan mengambil tindakan seperti mengeluarkan notis pembaikan, notis larangan (pemberhentian kerja), kompaun dan pendakwaan,” katanya.

Menurut Ir Dasuki, sepanjang tahun lalu JKKP Johor juga melaksanakan 514 pemeriksaan di tapak pembinaan.

“Daripada jumlah itu, JKKP Johor mengeluarkan 561 notis pembaikan, 502 notis larangan (pemberhentian kerja) dan 488 surat arahan.

“Sebanyak 188 kes dikenakan kompaun berjumlah RM352,000 serta 28 kes didakwa di mahkamah dengan jumlah denda sebanyak RM209,500 terhadap pelbagai kesalahan dan pelanggaran perundangan,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak di industri pembinaan bergerak seiring dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk menjadikan tempat kerja selamat dan sihat melalui penerapan budaya pencegahan.

Cetak Emel