doshheaderbm

Breadcumb Caption
Breadcumb Caption

Perkeso bantu 10,688 pekerja hilang upaya sejak 2007

utusan Online, 22 April 2015

oshcolumn 22042015

SARIPUDDIN KASIM (berdiri, kiri) bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Perkeso, Abu Huraira Abu Yazid menyaksikan (duduk, dari kiri) Azman Shah Haron, Mohammed Azman Aziz Mohamed dan Mohd. Khalid Atan menandatangani MoU bagi pelaksanaan program pengurusan pekerja hilang upaya di Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/FAIRUZ IZYANA AYUB
 

KUALA LUMPUR 21 April – Sebanyak 10,688 pekerja hilang upaya telah berjaya dibantu melalui Program Pengurusan Hilang Upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak tahun 2007.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, melalui program tersebut, pencarum yang hilang upa­ya akibat kemalangan atau penyakit dipulihkan melalui penyedia­an intervensi rawatan pemulihan dan pasaran pekerjaan serta membantu mereka kembali bekerja semula dengan cepat dan selamat.

“Program ini menggabungkan dua komponen penting iaitu perubatan dan pasaran kerja.

“Disiplin ini telah mendapat pe­ngiktirafan dari pelbagai pihak seperti Anugerah Khas 2013 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam memperjuangkan hak kebajikan serta peluang pekerjaan pekerja hilang upaya dan Good Practice Award for Asia and Pacific 2013 dari World Future    Council,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pertubuh­an Keselamatan Sosial (Perkeso), Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan MTUC dalam me­lak­sanakan program pengurusan pekerja hilang upaya bagi manfaat dan kesejahteraan rakyat.

MoU itu ditandatangani oleh Mohd. Khalid Atan bagi pihak MTUC manakala Perkeso oleh Mohammed Azman Aziz dan MEF pula diwakili Presidennya, Tan Sri Azman Shah Haron serta disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Saripuddin Kasim.

Menurut Mohammed Azman, seramai 95 peserta daripada 65 buah majikan menyertai program Disability Equality Training (DET) yang diadakan sebaik sahaja majlis MoU tersebut selesai.

“Program ini bertujuan memberi pendedahan mengenai punca berlakunya ketidakupayaan dalam kalangan pekerja seperti pergaulan terbatas, halangan untuk melibatkan diri dan diskriminasi,” ujarnya.

Tambah beliau, menyedari manfaat pelaksanaan konsep pengurus­an hilang upaya, pihaknya memperluaskan program tersebut untuk dilaksanakan pihak majikan menerusi pelaksanaan Return To Work Coordinator.

“Dalam program ini, setiap majikan disyor mewujudkan ‘penyelaras’ yang berperanan memberi fokus kepada pekerja yang mengalami kemalangan, penyakit dan menunjukkan simptom awal ketidakhadiran.

“Sistem ini akan memberi kesan signifikan dari segi pengurangan kos rawatan dan pemulihan, me­ningkatkan prestasi kerja sete­rusnya meningkatkan produktiviti majikan,” katanya.

Cetak Emel