Gambarfoto: Hujung belakang U-beam yang kelihatan tersandar atas tepi jambatan dan hujung depan tenggelam di dalam sungai
Sebuah jambatan yang terdiri daripada 8 rentang yang masing-masing sepanjang 37.5 meter sedang dalam proses pembinaan. Setiap rentang boleh memuatkan 3 unit precast U-beam dan sebanyak 6 batang precast U-beam telah berjaya dipasang di atas tiang sambut. Kaedah pemasangan precast U-beam tersebut dilakukan dengan menggunakan jentera beam launcher jenis self launching berkeupayaan 160 tan yang terdiri daripada 3 komponen utama – 2 unit struktur kekuda berbentuk A, 8 unit kaki penyokong (support leg) dan 2 unit kren bergerak atas yang berkapasiti 100 tan/ kren. Biasanya, precast U-beam yang bersaiz 37.5 m x 2.5 m x 1.25 m seberat 180 tan akan dibina di sebuah lokasi berhampiran dan setelah siap dibina, U-beam tersebut akan dibawa ke tapak jambatan dengan menggunakan prime mover dan kemudian kedua-dua hujung depan dan hujung belakang U-beam tersebut akan disangkutkan pada kedua-dua kren bergerak atas. Pada hari kejadian, ketika sedang mengangkut seunit precast U-beam untuk dibawa ke rentang yang seterusnya, tiba-tiba hujung depan precast U-beam yang sedang diangkat oleh salah satu kren bergerak atas bertindak turun dengan sendirinya secara perlahan-lahan. Keseluruhan hujung depan precast U-beam tersebut terbenam ke dalam sungai manakala hujung belakang precast U-beam tersebut yang jatuh pada rentang yang telah siap dan menghentam sekeping plat besi berukuran 4’ x 6’ x 1”. Kepingan besi tersebut melayang dan mengenai 3 orang pekerja berhampiran. Seorang pekerja maut dan dua lagi cedera parah selepas dihentam oleh plet besi . Penyiasatan menunjukkan sistem brek yang mengawal pergerakan menurun gelendong tali dawai serta peranti keselamatan tambahan iaitu ratchet yang digunakan untuk menahan gelendong daripada berpusing merupakan 2 faktor penyumbang utama kepada kejadian kemalangan.
Berikut merupakan beberapa cadangan langkah keselamatan yang boleh dipertimbangkan semasa menggunakan jentera self launching beam launcher untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan projek jambatan, iaitu :-
- Mewujudkan pelan pemeriksaan dan penyelenggaraan yang sistematik untuk memastikan keseluruhan sistem berada dalam keadaan baik terutamanya komponen kren kembara atas yang berfungsi mengangkat dan mengangkut beban rasuk ke rentang yang seterusnya
- Menyediakan dokumen penaksiran risiko (HIRARC) yang komprehensif untuk kerja-kerja pembinaan jambatan khususnya untuk pengendalian jentera self launching beam launcher dan seterusnya penyediaan prosedur kerja selamat (SOP) yang sesuai serta mengadakan sesi latihan kepada semua anggota yang terlibat dalam aktiviti penggunaan sistem self launching beam launcher
- Memastikan bahawa komponen-komponen utama seperti brake pad, main rope sheave, wire rope, gear box dan sistem hidraulik diuji dan diperiksa dengan teliti dan jika didapati terdapat sebarang kecacatan fizikal yang serius dan boleh mengurangkan kapasiti cengkaman brek, mengurangkan kapasiti gear dan kelancaran pergerakan wire rope, maka pihak kontraktor hendaklah menghentikan kerja-kerja pembinaan jambatan sehinggalah kesemua komponen utama tersebut diganti baru sepenuhnya
- Memastikan sistem elektrikal seperti butang pada panel kawalan dan kabel-kabel elektrik yang menghubungkan antara panel kawalan dengan komponen mekanikal seperti kren dan trolley sentiasa diperiksa dan dalam keadaan baik sebelum memulakan kerja-kerja mengangkut U-beam ke rentang seterusnya
- Pekerja yang bertanggungjawab mengawal pergerakan kren mestilah benar-benar dilatih secara khusus dan mempunyai tahap pengalaman yang cukup terutamanya dari segi teknik-teknik komunikasi dengan pekerja-pekerja lain yang juga terlibat dalam pembinaan jambatan tersebut
- Komponen ratchet yang dikatakan berfungsi untuk menahan pergerakan dram sebagai peranti keselamatan tambahan sekiranya brek gagal mencengkam dram semasa sedang mengangkut U-beam ke rentang seterusnya hendaklah diperiksa dari segi kelurusannya serta boleh dimasukkan dengan sempurna kedalam slot sprocket dram. Rujuk semula dengan pembuat asal tentang fungsi sebenar ratchet tersebut samada ianya bertujuan sebagai penahan dram semasa kren sedang mengangkut U-beam atau ianya hanya digunakan semata-mata untuk kerja-kerja penyelenggaraan sahaja
- Kapasiti cengkaman brek yang sepatutnya terdiri dari pengaktifan cengkaman luar dan dalam serentak bertindak menghentikan pusingan dram telah dikurangkan melalui pengubahsuaian sistem brek tersebut dengan mematikan fungsi sistem cengkaman dalaman seterusnya menyebabkan brek hanya bergantung pada cengkaman luar sahaja untuk menghentikan pusingan dram
- Wajib mendapatkan kelulusan rekabentuk dan sijil perakuan kelayakan yang sah untuk pengoperasian kren kembara atas serta mendaftarkan tapak kerja pembinaan jambatan dan jika ada sebarang kerja-kerja pengubahsuaian dan membaikpulih sistem kren kembara atas atau aspek-aspek lain pada beam launcher tersebut, pihak pemunya mesti mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu dari pihak JKKP