GENEVA – Pada 11 Jun 2024, YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia telah mendepositkan dokumen ratifikasi Konvensyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, 1981 (No. 155) kepada Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa, Mr. Gilbert Houngbo.
Setelah menerima dokumen tersebut, Mr. Gilbert Houngbo berkata, "Kepentingan utama keselamatan dan kesihatan pekerjaan telah dinyatakan secara jelas pada tahun 2022, apabila hak untuk persekitaran kerja yang selamat dan sihat adalah antara prinsip dan hak asasi di tempat kerja. Saya amat mengalu-alukan ratifikasi Konvensyen No. 155 oleh Malaysia, yang menunjukkan komitmennya terhadap prinsip dan hak asasi ini."
Beliau menambah, "Konvensyen No. 155 ialah salah satu instrumen asas ILO berkenaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, selain menetapkan prinsip dan metodologi asas yang diperlukan untuk penambahbaikan yang berterusan dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Ia memperuntukkan penggunaan dasar keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara yang koheren, serta tindakan yang perlu diambil oleh kerajaan dan industri untuk meningkatkan aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja."