Kurang langkah keselamatan punca kematian di jeti terminal petroleum
Berita Harian Online, 4 Ogos 2012
KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) mengenal pasti kekurangan langkah keselamatan sebagai punca dua insiden kematian di jeti terminal petroleum pada Januari dan Jun lalu.
Penolong Pengarah Bahagian Major Hazard Izani Mohd Zain memberitahu Bernama di sini, dua kematian itu berlaku di Pengerang, Johor. Kematian pertama pada Januari membabitkan seorang jurutera yang maut ketika menyelam untuk memasang perlindungan katod pada struktur jeti, katanya menambah jurutera berkenaan tidak memberi respons terhadap bantuan pernafasan.
Kejadian kedua berlaku pada 16 Jun yang berpunca daripada kegagalan majikan memantau pekerja, mengakibatkan seorang daripada mereka terjatuh ke dalam laut dan lemas.
"Setiap syarikat petroleum dan operator terminal ada prosedur keselamatan sendiri tetapi semua mereka mengamalkan langkah standard menghentikan kerja ketika cuaca buruk dan ribut petir, terutama apabila bekerja dengan bahan berbahaya dan amat mudah terbakar," kata Izani.
Pengurus Keselamatan Summit Petroleum Sdn Bhd Chong Kian Fook pula memberitahu Bernama tidak ada satu prosedur standard di terminal petroleum.
"Setiap syarikat ada polisi dan prosedur sendiri tetapi semua mengikut garis panduan asas yang disediakan DOSH," katanya. Summit Petroleum mengendalikan fasiliti minyak dan gas di Pelabuhan Klang. Chong berkata, prosedur standard pula bergantung kepada kemampuan kewangan dan tenaga kerja sesebuah syarikat.
"Jika mereka mempunyai sumber kewangan yang besar dan tenaga kerja mencukupi untuk melaksanakan lebih banyak langkah keselamatan, mereka akan lakukannya tetapi kebanyakan syarikat hanya ikut prosedur asas," katanya.
Chong berkata, satu daripada amalan keselamatan di terminal petroleum ialah menghentikan kerja memindah atau memuat ketika hujan lebat dengan jarak penglihatan yang kurang baik serta semasa ribut petir.
Sementara itu, Izani berkata, sekalipun DOSh tidak bertanggungjawab berkenaan prosedur keselamatan kapal tangki, jabatan itu meneliti opsyen untuk membantu dalam siasatan berhubung insiden di Labuan minggu lepas.
Kapal tangki milik Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC), Bunga Alpina terbakar dan mencetuskan letupan di terminal Petronas Chemicals Methanol Sdn Bhd, mengakibatkan lima kru terbunuh.
Media sebelum itu melaporkan kapal tangki berkenaan mungkin terkena panahan petir ketika kejadian ribut petir.
Jabatan Meteorologi Malaysia mengesahkan ketika kejadian jam 2 pagi itu Labuan dilanda ribut petir, namun siasatan berkenaan punca sebenar insiden masih berjalan. - BERNAMA