doshheaderbm

Breadcumb Caption
  • Sumber
  • Arkib
  • Arkib Berita
  • 2012
  • Tiada dijangkiti sakit kulit - Penduduk
Breadcumb Caption
  • Sumber
  • Arkib
  • Arkib Berita
  • 2012
  • Tiada dijangkiti sakit kulit - Penduduk

Tiada dijangkiti sakit kulit - Penduduk

Utusan Online, 31 Ogos 2012

RAUB 31 Ogos - Penduduk di sekitar lombong Raub Australia Gold Mining (RAGM) menafikan kehidupan mereka kini terganggu dan dijangkiti pelbagai penyakit kulit ekoran pencemaran bahan kimia sianida yang digunakan dalam aktiviti melombong emas di kawasan itu.

Seorang penduduk yang ditemui Utusan Malaysia hari ini, Norizah Abdullah, 53, yang tinggal di Taman Amalina Lestari, kira-kira 1.6 kilometer dari lokasi lombong berkenaan memberitahu, sejak 10 tahun tinggal di taman tersebut dia menjalani kehidupan seperti biasa.

Katanya, dia juga tidak pernah berasa sebarang perubahan pada dirinya dan ahli keluarganya seperti penyakit kulit dan penyakit lain berpunca daripada sianida yang digunakan di lombong emas tersebut.

"Saya percaya isu ini sengaja digembar-gemburkan pembangkang bermotifkan politik dan bukannya untuk membela penduduk di sini.

"Kami diberitahu RAGM baru menggunakan sianida sejak beroperasi semula empat tahun lalu," katanya.

Sebelum ini, portal propembangkang mendakwa operasi RAGM sejak Februari 2009 memberi kesan ke atas lebih 300 penduduk berhampiran khususnya Kampung Baru, Bukit Koman yang mengadu mengalami masalah kegatalan kulit melampau, kesukaran bernafas dan pelbagai kesan lain ekoran penggunaan bahan kimia tersebut.

Sementara itu, Pegawai Kanan Keselamatan RAGM, Adenan Ab. Rahman memberitahu, beliau tidak pernah mendapatkan rawatan berkaitan penyakit kulit akibat kesan bahan kimia tersebut.

Selain itu, katanya, ahli keluarganya dan penduduk Taman Simpang Kalang yang terletak kira-kira tiga kilometer dari RAGM juga tidak pernah mengalami tanda-tanda sakit kulit kesan pencemaran bahan tersebut sama ada melalui air atau udara.

"Selain saya, para pekerja lain terutamanya mereka yang menggunakan sianida secara langsung untuk operasi mengesan emas berada dalam keadaan sihat dan tidak pernah mengalami penyakit berkaitan kulit seperti didakwa.

"Pihak berkuasa juga setiap jam dan setiap hari menjalankan pemantauan dengan mengambil sampel air dan bahan-bahan lain untuk dijalankan kajian sama ada berlaku pencemaran atau sebaliknya," katanya.

Menurut beliau, selain Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kesihatan; Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta Jabatan Mineral dan Geosains turut menjalankan pemantauan dan kajian.

Namun katanya, setakat ini, pihak berkenaan mendapati tiada pencemaran berlaku seperti didakwa pihak tertentu.

Seorang lagi pekerja RAGM, Tommy Tay, 40, berkata, dia tidak mengalami sebarang simptom akibat terdedah kepada sianida seperti penyakit kulit dan sebagainya.

"Saya sudah lapan tahun menggunakan sianida iaitu enam tahun di lombong emas Penjom, Lipis dan dua tahun di RAGM.

"Malah, bahan kimia ini telah digunakan secara meluas dalam operasi melombong dan memproses emas di seluruh dunia dan saya tidak pernah mendengar ada pekerja yang terkena sakit kulit akibat menggunakannya," katanya.

Cetak Emel