Penggunaan Kren Secara Selamat
Rajah 1: Kegagalan kren di tapak bina
Safety Alert ini dikeluarkan sebagai peringatan kepada semua pihak yang terlibat di sektor pembinaan supaya memberikan perhatian yang khusus kepada kepentingan keselamatan semasa pembinaan, pemasangan, operasi, penyelenggaraan dan rombakan kren seperti kren mudah alih, kren menara dan derik. Safety Alert ini dikeluarkan sejajar dengan beberapa insiden serius yang melibatkan kren tersebut beberapa bulan kebelakangan ini di antara pertengahan 2011 dan suku tahun pertama 2012.
Mereka yang bertanggungjawab bagi pengurusan, pengendalian dan operasi kren di tapak pembinaan hendaklah memastikan bahawa:
- Kelulusan rekabentuk yang relevan untuk kren hendaklah diperolehi daripada Jabatan. Kebenaran bertulis dari Pejabat negeri hendaklah diperolehi sebelum pemasangan di tapak pembinaan. Jentera berperakuan tersebut memerlukan sijil kelayakan yang sah untuk beroperasi;
- Kren hendaklah dipasang dan dirombak oleh firma yang kompeten yang berdaftar dengan Jabatan. Firma kompeten tersebut hendaklah menyediakan prosedur kerja selamat bertulis bagi setiap jenis kren dan prosedur ini hendaklah merujuk kepada manual atau cadangan syarikat pembuat. Prosedur ini hendaklah dipaparkan di kawasan kerja dan pihak pengurusan hendaklah memastikan semua pekerja yang terlibat faham akan prosedur tersebut;
- Pelan sistem kerja selamat yang bertulis tentang penggunaan kren hendaklah disediakan dengan mengambil kira keselamatan orang awam, bangunan dan harta awam berhampiran;
- Pemeriksaan menyeluruh kren hendaklah dilakukan oleh firma kompeten selepas pemasangan dan pembinaan, dan pemeriksaan tersebut didokumenkan serta disimpan untuk perhatian pihak berkuasa jika diminta;
- Hanya orang yang kompeten sahaja dibenarkan mengendalikan kren. Bantuan dan perhatian lebih perlu diberikan jika operator tersebut kurang pengetahuan dengan model atau jenis kren yang sedang dikendalikan;
- Operator kren hendaklah menjalankan pra-pemeriksaan/pemeriksaan awalan pada permulaan shif masing–masing bagi memastikan kren tersebut tidak mengalami sebarang kerosakan dan kegagalan pada struktur dan mekanisma sekaligus selamat untuk digunakan;
- In-service inspection hendaklah dijalankan oleh operator kren secara berkala dan direkodkan untuk tujuan rujukan;
- Sistem penyelenggaraan secara berkala hendaklah dibangunkan dan dijalankan. Firma yang kompeten hendaklah menjalankan penyelenggaraan tersebut secara berkala merujuk kepada cadangan pembuat kren. Kerja–kerja penyelenggaraan termasuk komponen yang diselenggara dan diganti hendaklah direkodkan. Secara amnya alat ganti tersebut hendaklah seperti yang dicadangkan oleh pembuat. Sekiranya komponen yang digunakan berlainan dari spesifikasi asal pembuat kren, jurutera bertauliah hendaklah memastikan komponen tersebut mematuhi spesifikasi asal pembuat dan sesuai untuk digunakan. Komponen-komponen gantian hendaklah dipasang mengikut cadangan syarikat pembuat kren tersebut;
- Pemeriksaan menyeluruh tambahan hendaklah dijalankan oleh firma yang kompeten jika terdapat sebarang pengubahsuaian atau pembaikan atau sebarang kejadian luar biasa yang boleh menjejaskan keselamatan kren;
- Operasi kren hendaklah dirancang dan diselia; dan
- Sebarang kemalangan atau kejadian bahaya yang boleh mendatangkan risiko dan bahaya kepada keselamatan pekerja dan orang awam hendaklah dimaklumkan kepada Jabatan.