doshheaderbm

Breadcumb Caption
  • Sumber
  • Arkib
  • Arkib Info KKP
  • 2012
  • Ditimbus Muatan Mill Scale di Dermaga
Breadcumb Caption
  • Sumber
  • Arkib
  • Arkib Info KKP
  • 2012
  • Ditimbus Muatan Mill Scale di Dermaga

Ditimbus Muatan Mill Scale di Dermaga

Bertarikh 24 Februari 2012 lebih kurang jam 8.45 pagi, satu kemalangan maut telah berlaku di Pelabuhan Klang, Selangor melibatkan seorang pekerja kontraktor pembersihan warga Bangladesh. Ketika kejadian, mangsa sedang mengumpul mill scale yang tertumpah di atas lantai dermaga di bawah laluan wharf crane (kapasiti 20 tan) yang sedang beroperasi memunggah muatan mill scale daripada kapal dagangan ke hopper di dermaga (Gambarajah 1). Semasa grab bucket yang digunakan untuk mengangkut muatan sedang melintasi kawasan di mana mangsa sedang bekerja, grab bucket tersebut dikatakan telah terbuka dengan tiba-tiba dan menyebabkan muatan yang dibawa tersebut jatuh dan menimbus mangsa di bawah (Gambarajah 2). Mangsa meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke hospital.


Gambarajah 1 : Kawasan kemalangan

[a]-Grab bucket yang digunakan untuk memunggah mill scale

[b]

Gambarajah 2 : Gambaran keadaan grab bucket yang sedang terbuka (Gambar hiasan)

Cadangan-cadangan pembaikan:

  1. Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control [HIRARC] perlu dijalankan dengan lebih teliti dan mengambil kira semua aktiviti kerja yang perlu dijalankan serta semua kemungkinan yang akan berlaku bagi sesuatu kerja yang hendak dijalankan. Dalam hal ini, keperluan kerja-kerja pembersihan di bawah kren yang sedang beroperasi memunggah muatan daripada kapal dagangan ke dermaga perlu dinyatakan dengan jelas.
  2. Prosedur kerja selamat perlu dijana bagi menjalankan sesuatu kerja serta menerangkan dengan jelas dan terperinci tentang perkara-perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan semasa sesuatu kerja itu dijalankan, terutamanya pada waktu-waktu yang kritikal seperti semasa pertukaran syif tugas oleh pekerja.
  3. Penyeliaan ke atas sesuatu kerja khususnya bagi kerja-kerja yang melibatkan penggunaan jentera-jentera berat dan berbahaya, perlu lebih dititikberatkan daripada aspek kefahaman dan perhatian khususnya oleh penyelia itu sendiri dalam memastikan kawasan kerja yang diselia adalah betul-betul selamat untuk bekerja.
  4. Setiap kejadian kemalangan nyaris ataupun kejadian yang berbahaya yang pernah berlaku ke atas sesuatu kerja yang dilakukan perlu diberi perhatian, keutamaan serta perlu disiasat. Punca-punca kejadian tersebut terutamanya yang melibatkan kegagalan mekanikal sesuatu jentera perlu dikenalpasti khususnya bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang (Hiyari-Hatto).
  5. Aktiviti penyenggaraan dan pemeriksaan berjadual jentera yang digunakan dalam sesuatu kerja merupakan elemen yang amat penting bagi memastikan integriti dan kesesuaian jentera berkenaan untuk digunakan. Ianya perlu dilakukan dengan mengambil kira kemahiran dan pengetahuan pekerja yang ditugaskan untuk menjalankan kedua-dua aktiviti tersebut dalam mengenalpasti apa-apa masalah yang wujud serta menyelesaikannya.

Rujukan:

Cetak Emel