Peka tahap mental pekerja
myMetro Online, 20 Februari 2014
Kuala Lumpur: Majikan di negara ini perlu peka dan memberikan lebih perhatian kepada isu kesihatan mental di tempat kerja bagi meningkatkan lagi produktiviti tenaga kerja masing-masing.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perkara itu perlu diberi perhatian sewajarnya oleh setiap majikan kerana produktiviti pekerja di dalam sesuatu organisasi bergantung kepada tahap kesihatan mental mereka.
“Tiada tempat kerja terkecuali daripada gangguan mental, malah kesannya akan membabitkan psikologi, sosial serta ekonomi.
“Kesihatan mental tidak seharusnya diendahkan sebaliknya ia perlu ditangani kerana masalah ini memberi kesan mendalam kepada semua golongan termasuk eksekutif, pekerja, keluarga mereka, tempat kerja dan perusahaan serta masyarakat,” katanya, semalam.