Kenyataan Media Kempen kesedaran keselamatan penggunaan eskalator peringkat WP Kuala Lumpur 2016
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN
(KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA)
KEMPEN KESEDARAN KESELAMATAN PENGGUNAAN ESKALATOR PERINGKAT WP KUALA LUMPUR 2016
Kuala Lumpur, 28 Jun – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP/DOSH) dengan kerjasama Persatuan Lif dan Eskalator Malaysia (MALEA) , Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur dan juga Parenthood Ventures Sdn. Bhd. menganjurkan Kempen Kesedaran Keselamatan Penggunaan Eskalator Peringkat WP Kuala Lumpur 2016 yang dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib, Timbalan Menteri Sumber Manusia.
Menurut beliau, adalah menjadi tanggungjawab pemunya premis untuk melantik Firma Yang Kompetan dan juga Orang Yang Kompeten yang diiktiraf oleh JKKP bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan ke atas eskalator. Selain itu, pihak pemunya premis hendaklah memastikan setiap eskalator yang dipasang di premis mereka diselenggara mengikut jadual penyelenggaraan yang ditetapkan dan memastikan ianya sentiasa beroperasi dalam keadaan yang baik tanpa risiko kepada keselamatan para pengguna.
Daripada statistik JKKP, sejumlah 10,951 buah eskalator telah berdaftar dengan pihak JKKP. Pihak JKKP telah menjalankan operasi pemeriksaan selamat eskalator untuk memeriksa eskalator sejak awal tahun ini. Hasil pemeriksaan mendapati kesemua eskalator berfungsi dan mematuhi standard rekabentuk dan pemasangan yang ditetapkan oleh pihak JKKP. Selain itu, pihak JKKP akan mengeluarkan arahan penambahbaikan jika terdapat eskalator yang tidak mencapai standard yang dibenarkan.
Beliau menasihati para pengguna supaya lebih berhati-hati dan berwaspada semasa menggunakan eskalator termasuklah mengawasi anak-anak yang dibawa bersama dan mematuhi setiap arahan dan tatacara penggunaan yang disediakan oleh pihak berkuasa dan kompleks membeli-belah.
Tamat.
Tarikh siaran : 28 Jun 2016 Dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP/DOSH) |
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP/DOSH)
(Kementerian Sumber Manusia)
Aras 1, 3, 4 dan 5, Blok D4, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan PUTRAJAYA
Tel : 03 8886 5004 / 5264 Fax : 03 8889 2354