Kerja Pengorekan
Kerja Pengorekan
1.1 Apa itu kerja pengorekan?
Kerja pengorekan ditakrifkan sebagai pengalihan tanah, batuan atau bahan lain berhubung dengan kerja pembinaan atau perobohan dengan menggunakan perkakas, jentera atau bahan letupan untuk membentuk permukaan terbuka, lubang atau rongga. Kerja pengorekan termasuklah apa-apa kerja tanah, perparitan, empangan kekotak (cofferdam), kaison, telaga, lubung, terowong atau kerja bawah tanah.
Apa-apa kerja pembinaan (termasuk apa-apa kerja berkaitan dengan pengorekan) yang dijalankan di dalam atau berhampiran dengan:
(a)lubung, empangan kekotak (cofferdam), kaison atau parit dengan kedalaman yang dikorek melebihi 1.5 meter, atau
(b)suatu terowong
boleh dianggap sebagai ‘kerja pembinaan berisiko tinggi’ dan digalakkan supaya disediakan sistem kerja selamat atau Penyata Kaedah Kerja Selamat (PKKS) yang bertulis.
1.2 Siapa yang mempunyai kewajipan keselamatan dan kesihatan berhubung kerja pengorekan?
Majikan, pembina dan penghuni mempunyai kewajipan utama untuk memastikan, setakat yang munasabah boleh dipraktikkan, bahawa pekerja dan orang lain tidak terdedah kepada risiko keselamatan dan kesihatan yang timbul daripada kerja pengorekan. Orang berkewajipan mestilah menguruskan risiko yang berkaitan dengan semua jenis pengorekan di tempat kerja, tidak kira berapa kedalamannya.
Orang yang bekerja sendiri mestilah memastikan, setakat yang munasabah boleh dipraktikkan, bahawa tidak ada orang yang terdedah kepada risiko keselamatan dan kesihatan yang timbul daripada kerjanya.
Klien boleh memberi sumbangan yang signifikan untuk menambah baik pengurusan keselamatan dan kesihatan pengorekan dengan memperuntukkan bajet yang mencukupi untuk siasatan tapak. Mereka hendaklah bersedia untuk memperuntukkan sumber kewangan tambahan bagi penyiasatan tapak semasa pembinaan jika keadaan tanah atau batuan yang dijangkakan, disebabkan telah terdedah semasa pengorekan, berbeza daripada keadaan yang diramalkan dalam siasatan tapak asal.
Pembina mempunyai kewajipan undang-undang di bawah Bahagian XII, Peraturan-peraturan Kilang dan Jentera (Operasi-operasi Bangunan dan Kerja-kerja Pembinaan Kejuruteraan) (Keselamatan) 1986 (BOWECS) untuk menguruskan risiko yang berkaitan dengan kerja pengorekan. Sebagai contoh, pembina mestilah melantik orang yang kompeten untuk bertindak sebagai orang yang dilantik (penyelia pengorekan) untuk melaksanakan kewajipan di bawah Peraturan 113(2) BOWECS. Pembina mestilah merujuk dengan, setakat yang munasabah boleh dipraktikkan, pereka bagi keseluruhan atau mana-mana bahagian struktur (kekal atau sementara) tentang penghapusan dan pengawalan risiko.
Jurutera Profesional (PE) sebagai pereka mestilah memastikan, setakat yang munasabah boleh dipraktikkan, bahawa sebarang loji atau struktur sokongan yang direka tidak mendatangkan risiko kepada keselamatan dan kesihatan, apabila digunakan bagi tujuan ia direka. Contohnya, PE mestilah memberi laporan keselamatan bertulis, kepada orang yang diberi tugas untuk membina struktur sokongan, yang menyatakan kaedah kerja pengorekan, bahaya berkaitan dengan reka bentuk struktur sokongan dan langkah-langkah kawalan.
Pengurus projek, pengarah projek atau jurutera projek mempunyai kewajipan untuk berusaha dengan sewajarnya bagi memastikan kerja pengorekan mematuhi AKKP, AKJ dan peraturan-peraturan di bawahnya. Ini termasuklah mengambil langkah-langkah munasabah untuk memastikan kerja pengorekan mempunyai dan menggunakan sumber dan proses yang betul untuk menghapuskan atau meminimumkan risiko yang timbul daripada kerja pengorekan.
Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO) mesti memastikan pematuhan wajar semasa kerja pengorekan akan peruntukan AKKP dan mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya; dan menggalakkan pengendalian selamat kerja pengorekan tersebut.
Penyelia Keselamatan Tapak (SSS) mesti memastikan bahawa peruntukan-peruntukan AKJ dan mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya dipatuhi; dan menggalakkan tatakerja yang selamat khususnya semasa kerja pengorekan dan amnya di tapak pembinaan.
Pekerja mempunyai kewajipan untuk melaksanakan penjagaan yang munasabah untuk keselamatan dan kesihatan mereka sendiri supaya mereka tidak memudaratkan keselamatan dan kesihatan orang lain. Pekerja mesti mematuhi mana-mana arahan munasabah dan bekerjasama dengan dasar atau prosedur yang munasabah berhubung dengan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
1.3 Apa yang diperlukan untuk mengurus risiko-risiko yang berkaitan kerja pengorekan
Setiap majikan di sesebuah projek pembinaan yang melibatkan kerja pengorekan hendaklah memastikan risiko-risiko diurus dengan baik dengan mewujudkan dengan mewujudkan sistem kerja yang selamat, sebagaimana yang dikehendaki di bawah sub-seksyen 15(2)(a) di dalam AKKP, berkenaan kewajipan am majikan dan orang yang bekerja sendiri. Jika sesebuah projek pembinaan melibatkan lebih daripada satu majikan, semua majikan haruslah bekerjasama dalam mewujudkan sistem kerja yang selamat bagi melindungi pekerja mereka dan orang lain yang mungkin terkesan dengan risiko-risiko kerja pengorekan.
1.3.1 Mewujudkan sistem kerja yang selamat
Sistem kerja yang selamat adalah suatu prosedur formal yang memeriksa tugasan kerja secara bersistem untuk mengenal pasti semua potensi bahaya yang mungkin timbul dan kemudian memerihalkan kaedah kerja selamat, seperti PKKS, yang memastikan bahaya dihapuskan dan risiko diminimumkan. Sistem kerja selamat diperlukan apabila bahaya tidak boleh dihapuskan secara fizikal dan elemen tertentu risiko masih wujud.
Lima langkah untuk mengada dan menyenggarakan sistem kerja selamat ditunjukkan dalam Rajah 1. Orang yang bertanggungjawab untuk melaksanakan sistem kerja selamat hendaklah menyediakan kaedah selamat dengan:
(a)mempertimbangkan persediaan kerja dan pemberian kebenaran kerja pada permulaan apa-apa kerja;
(b)memastikan perancangan turutan kerja yang jelas;
(c)menentukan kaedah kerja selamat dan langkah-langkah keselamatan yang diperlukan;
(d)merangkumi kaedah akses yang selamat dan kaedah menyelamatkan diri yang selamat, sekiranya relevan; dan
(e)mempertimbangkan tugasan seperti penanggalan dan pelupusan bahan bangunan pada akhir setiap tugasan.
Rajah 1. Proses pengurusan risiko: Lima langkah untuk mencapai sistem kerja selamat.
Penghapusan bahaya hendaklah dijadikan keutamaan tinggi. Sebagai contoh, teknologi tanpa parit boleh menggantikan keperluan korekan, kecuali bagi lubang lancaran dan lubang terimaan; dan ini dapat mengelakkan banyak risiko yang berkaitan dengan perparitan terbuka. Ia juga mengurangkan risiko yang timbul daripada pengorekan terbuka kepada orang awam dan lalu lintas trafik.
1.3.2 Penyata Kaedah Kerja Selamat (PKKS)
Jika kerja pengorekan adalah atau melibatkan kerja pembinaan berisiko tinggi, kontraktor mestilah menyediakan PKKS sebelum kerja pembinaan berisiko tinggi itu bermula. PKKS mestilah:
(a)mengenal pasti jenis kerja pembinaan berisiko tinggi yang sedang dibuat;
(b)menentukan bahaya keselamatan dan kesihatan, dan risiko yang timbul daripada kerja tersebut;
(c)menjelaskan bagaimana risiko tersebut akan dikawal;
(d)menjelaskan bagaimana langkah-langkah kawalan akan dilaksana, dipantau dan disemak; dan
(e)dibangunkan secara rundingan bersama pekerja dan wakil pekerja yang melaksanakan kerja pembinaan berisiko tinggi.
Dalam keadaan tertentu, satu PKKS boleh disediakan untuk meliputi lebih daripada satu aktiviti kerja pembinaan berisiko tinggi yang dilaksanakan di tempat kerja oleh kontraktor dan/atau subkontraktor. Sebagai contoh, jika terdapat:
(a)risiko seseorang terjatuh lebih daripada tiga meter; dan
(b)parit dengan kedalaman korekan lebih daripada 1.5 meter.
Dalam kes ini, kontraktor atau subkontraktor boleh merujuk sesama mereka dan bekerjasama untuk menyediakan satu PKKS; ataupun, mereka boleh menyediakan PKKS secara berasingan. Jika mereka memilih untuk menyediakan PKKS berasingan, mereka mestilah saling merujuk di antara satu sama lain untuk memastikan semua PKKS adalah konsisten dan tidak menimbulkan risiko tambahan yang tidak rancang, di tempat kerja.
1.3.3 Merancang kerja anda
Satu daripada faktor penting yang perlu dibincangkan di peringkat perancangan adalah jenis tanah yang akan dikorek. Umumnya, semua pengorekan, kecuali yang sangat cetek, memerlukan sokongan dengan menggunakan pengepingan parit (trench sheeting).
Penaksiran oleh penyelia pengorekan adalah penting untuk mengkaji kemungkinan apa-apa perubahan keadaan tanah dan kemudian menyemak kaedah kerja sewajarnya. Panduan selanjutnya tentang proses pengurusan risiko umum boleh merujuk kepada Guidelines for Hazard Identification, Risk Assessment and Risk Control (HIRARC).
Penaksiran oleh penyelia pengorekan mestilah disusuli dengan penyiasatan tapak (site investigation) yang dilaksanakan (biasanya oleh pembina prinsipal) semasa proses perancangan, dan perkara yang perlu dipertimbangkan adalah:
(a)utiliti bawah tanah – termasuk gas, air, pembetungan, telekomunikasi, elektrik, bahan kimia, bahan bakar atau bahan pendingin di dalam paip atau saluran;
(b)penggunaan tapak sebelum ini;
(c)lokasi bangunan sedia ada dan struktur baharu;
(d)keputusan siasatan tanah (soil investigations);
(e)pencemaran tanah;
(f)saliran air (termasuk bawah tanah), aras air tanah (water table) dan jenis tanah;
(g)lokasi penyimpanan dan pelupusan bahan korekan;
(h)kaedah pengangkutan, laluan pemunggahan dan pelupusan, jumlah ruang kerja dan penyimpanan yang diperlukan;
(i)kaedah paling sesuai bagi sokongan sementara dinding korekan;
(j)bilangan orang yang terlibat;
(k)keadaan cuaca setempat;
(l)tempoh korekan akan dibiarkan terbuka; dan
(m)pengaturan kecemasan yang mencukupi.
Kedudukan semua pepasangan utiliti bawah tanah yang sedia ada, seperti pembentung, saluran utama (air dan gas) dan kabel (elektrik dan telekomunikasi) mesti ditentusahkan sebelum kerja bermula. Paip atau kabel haruslah diasingkan sebelum kerja bermula.
Jika kerja pengorekan diperlukan untuk membaik pulih saluran utama (air dan gas), perkhidmatan berpaip atau kabel (elektrik atau telekomunikasi) yang memberi perkhidmatan kepada penduduk di sekitarnya, adalah sangat penting untuk diwujud dan dikekalkan komunikasi berkesan di antara kontraktor pengorekan dengan penduduk yang berjiran sepanjang semua peringkat projek. Jika kerja tersebut menghalang laluan utama atau laluan kecemasan dari bangunan tersebut, maka pengaturan keluar-masuk haruslah disediakan.
Sebaik sahaja penyiasatan tapak dan perancangan kerja siap, mesyuarat haruslah diatur dengan penduduk yang berjiran supaya apa-apa pengaturan khas boleh disampaikan. Hubungan berterusan dengan penduduk setempat merupakan elemen penting dalam strategi kawalan risiko.
1.3.4 Merujuk pekerja anda
Perundingan dengan pekerja dan wakil keselamatan dan kesihatan diperlukan dalam setiap proses pengurusan risiko. Biasanya, keputusan tentang kerja dan projek pembinaan dibuat sebelum pekerja diambil bekerja. Dengan ini, perbincangan dengan pekerja mungkin tidak dapat dilakukan pada peringkat awal. Bagaimanapun, adalah penting untuk berbincang dengan mereka apabila kerja pengorekan berlangsung.
1.3.5 Perundingan, kerjasama dan penyelarasan dengan orang lain yang mempunyai kewajipan
Tapak pembinaan sering dikongsi bersama pelbagai pihak, seperti jurutera awam dan kontraktor. Orang dengan kewajipan bertindih hendaklah bertukar maklumat tentang risiko berkaitan kerja pengorekan, termasuklah apa-apa pergerakan trafik dan loji berhampiran kawasan korekan. Mereka hendaklah bekerjasama secara terselaras supaya semua bahaya/ risiko dihapuskan atau diminimumkan setakat yang munasabah boleh dipraktikkan. Perundingan hendaklah meliputi perbincangan tentang:
(a)sifat dan keadaan tanah dan persekitaran kerja;
(b)keadaan cuaca;
(c)sifat kerja dan aktiviti lain yang mungkin menjejaskan keselamatan dan kesihatan;
(d)beban-beban statik dan dinamik berhampiran korekan;
(e)interaksi dengan ketukangan lain;
(f)akses tapak;
(g)PKKS;
(h)pengurusan trafik kenderaan sekeliling dan getaran tanah (ground vibration);
(i)jenis kelengkapan yang digunakan untuk kerja pengorekan;
(j)keselamatan awam;
(k)perkhidmatan utiliti sedia ada dan lokasinya;
(l)tempoh korekan akan dibiarkan terbuka;
(m)peruntukan kebajikan yang mencukupi, dan
(n)prosedur untuk menangani kecemasan.
Isu yang berkaitan
- pdf Panduan pemeriksaan bahaya kerja pengorekan
- pdf Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Industri Pembinaan (Kerja Pengorekan) 2017
- pdf e-Buletin: Tapak Selamat Bil. 3/2015