Kerja-kerja Mengangkat
Apa yang anda harus lakukan
1. Perancangan kerja-kerja mengangkat
Semua kerja-kerja mengangkat haruslah dirancang, dengan mengambil kira semua risiko-risiko yang boleh dijangka, supaya ianya dibuat dengan selamat.
Seseorang yang dilantik untuk merancang kerja mengangkat haruslah mempunyai pengetahuan praktikal dan teoritikal dan pengalaman yang mencukupi berkenaan kerja mengangkat yang akan dibuat.
Perancangan haruslah memberi perhatian kepada:
(a) risiko-risiko yang dikenalpasti semasa pentaksiran risiko;
(b) sumber-sumber yang diperlukan;
(c) prosedur-prosedur; dan
(d) tanggungjawab-tanggungjawab
supaya kerja mengangkat dibuat dengan selamat.
“Perancangan Teliti: Perancangan kerja-kerja mengangkat adalah berbagai, dan dibuat dengan berbeza bergantung kepada pengalaman dan pengetahuan pasukan kren. Kesan-kesan positif perancangan teliti kerja mengangkat boleh dilihat dalam aspek keberkesanan, produktiviti dan keselamatan di tapak”
Sertyesilisik et al., 2010, An investigation of lifting operations on UK construction sites.
2. Penyediaan sistem kerja selamat
Perancangan haruslah menghasilkan satu sistem kerja selamat atau pernyataan kaedah yang bertulis.
Pernyataan kaedah haruslah difahami oleh setiap orang yang terlibat.
Elemen-elemen penting termasuklah:
(a) perancangan kerja dan HIRARC – termasuklah persediaan tapak, pemasangan dan perombakan kren
(b) pemilihan, penyediaan dan penggunaan kren dan peralatan kerja yang sesuai, termasuklah perkiraan bagi pengisyaratan dan penalian yang selamat
(c) penyediaan pekerja (penyelia, operator, jurutali dan juru isyarat) yang kompeten & bilangan mencukupi
(d) penyeliaan kerja oleh penyelia mengangkat yang diberi kuasa yang diperlukan
(e) jenis-jenis beban yang akan diangkat termasuklah kaedah dan komponen mengikat
(f) pemeriksaan teliti, laporan dan dokumen berkaitan
(g) penyenggaraan dan pemeriksaan kren dan peralatannya
(h) pencegahan pergerakan dan penggunaan kren tanpa kebenaran
(i) beban maksimum yang akan diangkat
(j) carta beban: sudut bum, jejari beban dan kapasiti mengangkat; dan
(k) langkah-langkah memastikan keselamatan pekerja dan orang lain yang tidak terlibat dalam kerja mengangkat
3. Penyeliaan kerja-kerja mengangkat
Tahap penyeliaan yang mencukupi hendaklah diadakan untuk kerja mengangkat, berkadaran dengan tahap risiko dan pekerja yang terlibat semasa kerja mengangkat.
Penyelia Mengangkat haruslah mengarah dan menyelia kerja mengangkat bagi memastikan ianya dibuat mengikut pernyataan kaedah.
Penyelia Mengangkat haruslah kompeten dan diberi latihan yang sesuai dan mempunyai pengalaman yang mencukupi untuk menjalankan semua tugas dan mempunyai kuasa untuk menghentikan kerja jika bahaya.
4. Pemeriksaan Kren
Keseluruhan kren hendaklah diperiksa oleh pegawai JKKP setiap tempoh 15 bulan.
Orang yang Bertanggungjawab (OYB) haruslah memeriksa kren pada sela masa yang disyorkan oleh pembuat. Pemeriksaan ini lebih terperinci dan tertumpu.
Rekod-rekod pemeriksaan dan ujian hendaklah sentiasa sedia untuk disemak oleh pegawai JKKP.
Isu yang berkaitan
- PERINTAH KHAS KETUA PEMERIKSA
- GARIS PANDUAN
- PENDAFTARAN FIRMA YANG KOMPETEN
- SENARAI PUSAT DAN TENAGA PENGAJAR
- Pusat Pengajar Kursus Operator Kren
- Tenaga Pengajar Operator Kren
- PENDAFTARAN PUSAT PENGAJAR
- PANDUAN PEMERIKSAAN BAHAYA
- POSTER