Keselamatan Kenderaan di Tapak Pembinaan
Pengenalan
1. Kemalangan melibatkan kenderaan di tapak pembinaan banyak berlaku pada mutakhir ini dan setiap tahun. Pada tahun 2019, seramai 27 pekerja terkorban dalam kemalangan berkaitan kenderaan di tapak pembinaan. Dua belas orang daripada mereka adalah pekerja am, manakala lima orang adalah pemandu.
Rajah 1. Pada tahun 2019, kemalangan berkaitan kenderaan menyumbang bilangan kedua tertinggi kemalangan maut pekerja pembinaan.
2. Penyebab utama kematian adalah pekerja dihimpit atau dilanggar kenderaan atau jatuh dari atasnya. Jenis utama kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut adalah lori (8).
3. Panduan ini ditujukan kepada pengurus dan pemandu untuk membantu mereka mengurangkan kebarangkalian berlakunya kemalangan berkaitan kenderaan. Majikan mempunyai kewajipan perundangan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjanya, kontraktor dan orang awam tidak terdedah kepada risiko yang terhasil daripada pengusahaannya.
4. Pekerja dan orang yang bekerja sendiri mempunyai kewajipan untuk memastikan keselamatan diri sendiri dan orang lain yang mungkin terkesan dengan kerja mereka.
5. Keselamatan kenderaan termasuklah kenderaan yang digunakan di tapak dan kenderaan yang diletakkan di jalan awam bersebelahan dengan tapak untuk tujuan memuat dan memunggah.
Pengurusan keselamatan kenderaan di tapak pembinaan
6. Pengurusan keselamatan kenderaan memerlukan pentaksiran risiko. Pentaksiran risiko haruslah mengambil kira tiga perkara utama, iaitu:
-
tapak yang selamat (reka bentuk dan aktiviti);
-
kenderaan yang selamat; dan
-
pemandu yang selamat.
Tapak yang selamat - reka bentuk
Pengasingan
-
Sediakan laluan trafik pekerja dan kenderaan yang berasingan
-
Jika pengasingan sempurna tidak mengizinkan, tanda dengan jelas laluan trafik pekerja dan kenderaan menggunakan halangan dan papan tanda
-
Sediakan laluan masuk dan keluar yang berasingan untuk pekerja dan kenderaan
Laluan trafik, termasuklan laluan trafik sementara
-
Pastikan lebar laluan mencukupi untuk pengendalian selamat kenderaan
-
Pastikan permukaan laluan sesuai untuk pekerja dan kenderaan
-
Kalau boleh, guna laluan sehala untuk mengurangkan kenderaan mengundur
-
Elakkan cerun yang curam
-
Elakkan selekoh tajam dan selekoh buta
-
Kekalkan laluan tiada halangan
-
Senggara laluan dengan betul
Keterlihatan
-
Sediakan keterlihatan yang mencukupi untuk membolehkan pemandu melihat hazad, dan pekerja melihat kenderaan
-
Pasang cermin di selekoh tajam dan selekoh buta
Halaju
-
Kuatkuasa had halaju yang sesuai.
-
Contohnya, had halaju yang rendah di mana ada pekerja atau laluan dikongsi bersama kenderaan lain
Papan tanda, tanda isyarat dan penanda
-
Gunakan papan tanda yang sama seperti yang digunakan di jalan awam
-
Letak papan tanda di tempat yang sesuai dan kekalkan ianya bersih
-
Jika diperlukan memandu di waktu malam, gunakan papan tanda yang bercahaya dan memantul
Pencahayaan
-
Sediakan pencahayaan yang sesuai dan mencukupi terutamanya di mana pekerja dan kenderaan melintas dan kerja memuat/ memunggah dibuat
Tapak yang selamat - aktiviti
Pengunduran
-
Tanda dengan jelas kawasan yang ditetapkan untuk mengundur
-
Pasang peralatan pada kenderaan yang membantu pemandu dan pekerja, contohnya penggera mengundur, suar berkedip dan alat pengesan jarak
Penanda Isyarat
-
Lantik pengawal bendera untuk membantu pemandu terutamanya semasa mengundur
Parkir
-
Sediakan kawasan yang ditetapkan untuk kenderaan memuat dan memunggah
-
Pemandu hendaklah memastikan kenderaan dibrek, enjin dimatikan dan kuncinya disimpan
Memuat dan memunggah
-
Sediakan maklumat berkaitan sifat beban dan bagaimana ia harus dimuat, diikat dan dipunggah dengan betul
-
Sediakan kawasan memuat dan memunggah yang tidak diganggu trafik dan pekerja yang tidak terlibat
-
Laksanakan di paras yang rata dan tidak berdekatan kabel elektrik atau paip
-
Pastikan pemandu sentiasa di tempat yang selamat semasa memuat dan memunggah
Rajah 2. Pemandu lori sering terdedah kepada bahaya berkaitan kenderaan.
Jongket
-
Pastikan jongketan dibuat pada paras yang rata
-
Gunakan penahan tayar
-
Pastikan tiada pekerja di kawasan jongketan
Terbalik
-
Gunakan kenderaan yang sesuai
-
Pertimbangkan untuk menghadkan halaju operasi berdasarkan permukaan, kecerunan dan sifat laluan
Premis yang dikongsi
-
Majikan, pekerja dan orang yang bekerja sendiri yang berkongsi tapak pembinaan haruslah bekerjasama dan berhubung sesama mereka
-
Kontraktor utama haruslah mengambil tanggungjawab untuk menyelaras langkah-langkah keselamatan dan kesihatan
Kenderaan yang selamat
-
Gunakan kenderaan yang sesuai dengan tujuan, dengan mengambil kira keadaan kerja
-
Pasang peranti amaran
-
Pastikan pemandu boleh melihat dengan jelas sekeliling kenderaannya
Penyenggaraan
-
Senggara kenderaan supaya berkeadaan yang baik untuk memastikan ianya kekal selamat secara mekanikal dan apa-apa peranti berfungsi dengan betul
-
Jalankan pemeriksaan penyenggaraan berkala
-
Sediakan pemeriksaan harian untuk pemandu
Pemandu yang selamat
Kompetensi
-
Pastikan pemandu menerima maklumat, arahan dan latihan yang sesuai berkaitan kenderaan yang dia gunakan
Kecergasan untuk mengendali
-
Pastikan pemandu cergas untuk memandu. Contohnya, rujuk http://www.myhealth.gov.my/ untuk tahap penglihatan yang sesuai untuk memandu
Rujukan
-
Workplace transport safety: A brief guide INDG199(rev2). www.hse.gov.uk/pubns/indg199.htm.
-
Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Industri Pembinaan (Kerja Pengorekan) 2017